Sunday, December 28, 2014

Pantang ketika bersalin

Alhamdulillah, anak accik dah selamat bersalin pada  17 Safar 1436H bersamaan dengan 9 Disember 2014 dan memberikan gelaran nenek kepada accik :) ..
Baby Nur Amni
Baharulah sibuk nak mengkaji tentang pemakanan orang dalam pantang, selepas lebih 23 tahun tak beranak kecil.

Dulu dunia komunikasi tak secanggih kini.  Tidaklah mendengar sangat tentang kepelbagaian kaedah dan pemakanan ketika berpantang.  Sekarang dah tahu, ada macam-macam 'khilafiyah' juga terutama tentang pemakanan waktu berpantang. 
Terpulang pada keserasian kita lah untuk menerimanya.  Accik kumpulkan pandangan-pandangan yang berlainan itu untuk panduan accik sendiri di masakini dan akan datang kalau kena jaga anak dalam pantang lagi nanti.

1.

BOLEH
TIDAK BOLEH

AYAM & DAGING



  • Burung puyuh
  • Burung merpati
  • ayam hitam
  • ayam didik
  • ayam selasih
  • ayam kampung
  • daging batang pinang

  • Ayam biasa (takut gatal)

IKAN

Penting:
Ikan berbisa jika dimakan oleh ibu-ibu dalam pantang boleh menyebabkan turun darah dan bentan

Ikan haruan menyembuhkan luka.
Ikan yu membanyakkan susu ibu
  • Ikan haruan
  • Ikan yu
  • Ikan selar
  • Ikan gelama
  • Ikan jenahak
  • Ikan merah
  • Ikan tenggiri
  • Ikan kurau
  • Ikan bawal putih
  • Ikan senangin
  • Ikan bilis
  • Ikan kering
  • Ikan masin
  • Ikan keli
  • Ikan bawal hitam
  • Ikan terubuk
  • Ikan duri
  • Ikan pari
  • Ikan sembilang
  • Ikan parang
  • ikan kembung
  • Ikan tamban
  • Ikan cencaru
  • Ikan tongkol
  • makanan laut
    • udang
    • sotong
    • kerang


ULAM ULAMAN

Ulam-ulaman ini mengandungi fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E, bersifat anti oksidan.

Jantung pisang membanyakkan susu ibu

Ulam kunyit mengembalikan kecergasan badan dan
menyembuhkan luka dalaman

  • halia
  • Serai
  • Lengkuas
  • pucuk pegaga
  • pucuk mengkudu
  • pucuk ulam raja
  • lempuyang
  • jantung pisang rebus
  • daun atau ubi cekur
  • bunga kantan
  • kunyit hidup
  • daun lemuni hitam
  • daun kaduk
  • daun sekentut
  • daun kesum
  • daun cemumar
  • daun pudina
  • daun kari
  • daun bebuas
  • daun ruku




SAYUR-SAYURAN /

Penting:
Mengambil sayur-sayuran  menjalar, sejuk serta beranginboleh menyebabkan ibu-ibu kembung dan sakit-sakit badan.

Lobak putih dan peria membanyakkan susu ibu

Peria memudahkan buang air besar, membantu membersih dan melancarkan peredaran
darah dalam tubuh.

  • Ubi kentang
  • Peria
  • Sawi
  • Lobak merah
  • Lobak putih


  • Ubi kayu
  • Kangkung
  • Petola
  • Terung
  • Cili
  • Timun
  • Tomato
  • Brokoli
  • Kubis
  • Seledri
  • Terung
  • Timun
  • sayur keladi
  • pucuk ubi
  • pucuk paku
  • bayam
  • sayur atau daun keti (bunga putih)
  • kacang panjang
  • kacang botol
  • labu
  • rebung
  • jeruk maman
  • petai
  • jering


BUAH-BUAHAN

Penting:
Makanan tersebut dilarang kerana dapat mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi. Penyakit-penyakit tersebut diketahui telah banyak berleluasa di barat dan dikenali sebagai artritis dan rheumatisme.
  • Buah anggur
  • Kurma
  • Oren
  • Epal merah
  • Strawberi
  • Peach
  • Prune
  • Kismis
  • Longan cina

  • Nenas
  • Limau
  • buah lai
  • tembikai susu
  • tembikai merah
  • tembikai cina
  • epal hijau
  • kiwi
  • buah pear
  • pisang
  • jambu
  • belimbing
  • durian belanda
  • mangga
  • betik
  • ciku
  • langsat
  • nangka
  • cempedak
  • pisang masak hijau
  • pisang nangka
  • pisang embun
  • pisang udang
  • ubi kayu
  • ubi keladi
  • sengkuang
  • manggis
  • macang
  • kuinin
  • binjai



LAIN-LAIN MAKANAN

Asam jawa membantu membuang air besar selain dari
menyegarkan tubuh badan 
  • Biskut
  • Roti
  • Nestum
  • Quaker Oat
  • Cornflakes
  • Masakan panggang
  • Masakan rebus
  • Masakan kukus
  • Masakan bakar
  • Masakan salai
  • Asam jawa
  • Asam keping
  • Tempe
  • Burger
  • Nugget
  • Sosej
  • Bihun
  • Mee
  • Kuey teow
  • Laksa
  • Telur
  • Semua jenis ubi
  • Semua jenis makanan laut
  • Masakan berminyak boleh tetapi sedikit/jarang-jarang


AIR

Penting:
Ibu-ibu tidak boleh minum minuman sejuk, tajam dan jus daripada buah-buahan yang dilarang

Air kunyit mengecutkan rahim dan mencuci darah.

Air rebusan pegaga ini membersihkan darah dalam tubuh ibu yang baru
melahirkan anak.
Manjakani berfungsi untuk mengering dan mengetatkan pangkal rahim.

Air jus halia kurma boleh membuang angin dalam badan dan menambah tenaga.

Air madu memanaskan badan.

  • air suam
  • air pati kunyit
  • jus pegaga
  • air halia
  • air kopi
  • air manjakani 
  • jus halia kurma
  • air madu
  • air ais
  • air sejuk
  • air bergas
  • air tebu
  • air cincau
  • air kelapa muda
  • air jus buah-buahan yang dilarang


sumber: hidayahmk.blogspot.com

Thursday, December 4, 2014

Hidup dan UjianNya

Kehidupan ini adalah satu pengembaraan. Sepanjang permusafiran ini, kita akan diuji dengan pelbagai ujian. Mudah-mudahan kita semua adalah hambaNya yang sabar dan bersyukur sentiasa.  Setiap kita pasti ada melalui ujian getir dalam kehidupan.  


Kehilangan orang tersayang (hidup atau mati), sakit, fitnah, anak, kemiskinan, ujian dengan masa, ujian hati, ujian dalam rumahtangga.  Ada orang, lagi diuji, lagi jauh dari Penciptanya.  Ada orang, ujian tambah mendekatkannya dengan Allah.  Jadilah golongan yang kedua itu.

Kegembiraan dalam kehidupan juga adalah ujian.  Apakah kegembiraan tambah mendekatkan kita dengan Allah, atau menjadikan kita lupakan pemberi kegembiraan itu? Hingga kita mengabaikan perintahNya?  Nikmat dunia itu sesungguhnya adalah ujian yang amat berat melainkan kita menjadi orang-orang yang bersyukur dan bertakwa.  

Yang pasti, setiap ujian itu ada hikmahNya. La Tahzan buat kita semua apabila menerima dugaan Allah.  Sekian, peringatan buat diri yang lupa dan yang lupa diri.

Saturday, August 30, 2014

Azan-Seruan mendirikan solat


Taranum dalam azan antaranya:


Bayati Husaini

Jiharkah

Nahwan

Bila dengar azan yang macam ni, bersemangat bangun menunaikan 5 waktu solat fardhu.  Tapi kadang-kadang, ada azan yang macam nak suruh tarik selimut tidur lagi (kalau subuh lebih-lebih lagi) 

Siapa yang ada anak lelaki, ajarkanlah untuk azan.  Jangan dia malu nak keluarkan suara. Tapi jangan berani sangat pantang nampak mikrofon kat masjid nak laung azan.  Sebutan tak betulpun, nak suruh azan kat surau, kat masjid.

Azan adalah seruan untuk memanggil orang muslim bersolat.  Panggillah dengan sebaiknya. Mungkin dengan panggilan yang indah itu, akan menarik orang yang tidak bersolat untuk bersolat.  Allah mungkin bukakan hati orang bukan muslim untuk menganut agama ini kerana tertarik dengan azan. Segala yang baik dalam Islam adalah tarikan.  Serlahkan kebaikan dalam agama, kerana Islam itu indah. Jangan cemarkan Islam dengan perkara yang tidak sepatutnya, dan yang menjauhkan yang bukan Islam dari mendekati agama ini.

Kalau azan menyakitkan telinga mendengar, orang marah. Bukan tertarik.  Masjid-masjid, surau-surau, lantiklah bilal yang mampu melaungkan azan dengan baik. Pelajari, baiki sebutan, lagu.  Mesti ada pihak berkaitan yang memantau tentang kelayakan bilal di sesuatu surau atau masjid.

Pernah bahkan kerap accik dengar budak2 melaungkan azan dengan sebutan yang tidak betul, menggunakan mikrofon / pembesar suara  dalam bulan ramadhan.  Kemana perginya bilal / orang dewasa di kediaman itu hingga membenarkan kanak-kanak melaungkan azan? Makan tak kenyang2 lagi agaknya?  hmmm..ini tidak sepatutnya berlaku.

Hendak melatih boleh. Tapi rasanya tak perlu menggunakan pembesar suara. Entahlah.  Mungkin accik tersilap dalam pandangan ini.  Maafkan saya.

Terima kasih untuk 3 video dari Youtube...laungan azan dari ustaz Fahmi Asyraf.

Thursday, August 21, 2014

Kucingku Beranak Lagi.

Kali ni sekali 2 ekor beranak serentak. Akibatnya, berlakulah fenomena kongsi anak.  Nasib baik sanggup berkongsi.  Bukan fenomena rebut anak.  Semuanya berlaku dalam situasi aman.
Tahniah Popoh dan Tatah.  3 anak Tatah, 4 anak Popoh. Menyusukan sesama.  Tak kiralah anak saper. Tatah beranak pada 10hb. Popoh pulak pada pagi 11 Ogos 2014.   Meriah sungguh depa ni...huhu


Lepas ni mikir mana kan ku hantar ini anak-anak bulus memandangkan ketidaksesuaian memelihara mereka di atas kayangan ini.

Akhir mereka pulang dan dipulangkan.

Esok, jenazah / mayat mangsa serangan kapalterbang MH17 rakyat Malaysia akan pulang dan dikebumikan akhirnya. Kita nantikan laporannya di media-media letronik dan akhbar-akhbar terbitan negara ini kelak. Siapa, bagaimana ... dan siapa pula yang masih tidak ditemui atau tidak dapat dikesan mayatnya.  Semua kita nak tahu juga.  Apalagilah jika melibatkan darah daging kita, saudara mara, kaum kerabat kita.

Tragidi yang berlaku pada tanggal 19 Ramadhan 1435 bersamaan 17 Julai 2014 Masihi masih mencari punca kapalterbang itu meletup dan terhempas di sempadan Ukraine / Rusia. Masing-masing tuduh menuduh dan salah menyalah dengan menunjukkan bukti-bukti bahawa pihak lain yang menyerang disamping menyembunyikan juga bukti-bukti yang ada untuk mensabitkan mereka terlibat. Telah 35 hari berlalu. Baharu dapat selesaikan urusan mayat-mayat itu. 

Tak kisahlah.  Peristiwa sudah berlaku.  Buatlah apa yang termampu. Keadilan dituntut untuk menghukum pihak yang terlibat. Semoga ini berjaya dilakukan. Kalau tidakpun berjaya di dunia, di akherat nanti, mereka yang terbabit ini pasti akan menerima hukumannya.

Yakinlah kita pada kekuasaan Allah.  TakdirNya yang tidak dapat kita halang. Tapi kita boleh berusaha dan mengambil iktibar dengan apa yang ditakdirkanNya. HikmahNya mengiringi setiap kejadian.

Moga kaum keluarga mangsa tabah, sabar dan redho dengan kejadian ini.  Kita sama-sama doakan agar roh mereka dirahmati Allah, dimasukkan dalam golongan orang-orang yang beriman, dijauhkan dari azab kubur dan siksa api neraka dan kan menjadi penghuni Jannah yang setiap kita impikan.

Buat kita yang masih berpijak dibumi nan nyata ini, teruskan penghidupan.  Buatlah sebanyak mungkin kebaikan, jauhkan segala kemungkaran dan larangan agama.  Sentiasa berdoa agar kita selamat di dunia, selamat di akherat.  Mintalah selalu akan Husnulkhotimah...
Mati kita datang tiba-tiba.  Tanpa ada notisnya. Tanpa ada tangguhannya.



PBDYL.

Wednesday, August 6, 2014

Budi Bahasa Amalan Kita

Gambar ihsan dari pencarian Google. Tq


Selamat Hari Raya Eid Fitri buat semua.
Sekarang bulan syawal. Bagi sesiapa yg tak kuat atau uzur utk berpuasa ganti atau sunat, bulan ini adalah bulan makan-makan. Maka akan bermulalah episod cinta makan. Di pejabat, di rumah, di hotel2, di dewan2, di kanopi2....sana sini ada jemputan makan. Beringat-ingatlah ketika makan. Takut tecekik, tesedak, tesendawa... 

Budi Bahasa Amalan Kita.

Jangan tika kita menikmati makanan enak2 itu, orang yang berdekatan tidak kita jemput sama. Mereka membau, melihat dan mendengar cerita anda tentang makanan itu. patut kah mereka diabaikan? Lebih-lebih lagi apabila mereka mendengar jiran nun jauh di hujung rumah dipanggil untuk turut serta, tetapi mereka yang di hadapan mata, tidak dipelawa. Itu tidak beradab namanya. Kerana dalam Islam, tidak dianjurkan begitu. Jangan diamalkan sikap sedemikian ye anak-anak, walau di mana anda berada...sekadar mahu melihat budi bahasa manusia yang semakin pupus...bukan hendak makan sangatpun. 

Budi Bahasa Amalan Kita.

Kalau alasannya takut tak cukup makanan, kenapa pegawai jauh-jauh dipanggil datang makan sama?
Oooo..pegawai....yg mendawai orang bawahan ni tak perlu la agaknya dijemput sama kan...hmmm..

Sebenarnya ini kisah yang berlaku pada accik sebelum puasa dulu. Accik kan baru bertukar ke department lain. Sangatlah tekejut dengan budaya kakitangan di sini yang kau kau...aku aku...unit kau unit kau...unit aku unit aku. Tapi tidak juga, kerana cc di unit accik dijemput pulak.  (Itupun selepas makanan banyak berlebihan. Cc je yg dijemput). 

Accik duduk barisan hadapan, di hadapan accik adalah bilik pantry unit lain, tempat makanan mereka dinikmati, disediakan atau ditempatkan. Accik sebagai orang baru, menunggu je dipelawa hanya untuk melihat budi bahasa mereka. Kekadang ada yang datang mahu meminjam peralatan kami.  Namun ayat yang seerti dengan 'jemput' tidak juga keluar dari mulut mereka kepada kami yang duduk dihadapan mereka ini.

Culture shock sungguh accik.  Dulu accik di Bahagian Tajaan, sangat meriah dan selalu kami buat majlis makan-makan rasmi atau tidak rasmi. Kami jemput unit berdekatan join sama. Meriah sungguh. Hingga orang kata, ni pejabat kerajaan ke...atau kedai makan...err..melampo lak kan.. kemudian kalau ada dari unit lain yang datang berurusan, kami ajak makan sama.  Indah silaturrahim antara kami.

Di tempat bertugas selepas itu, Bahagian Pembangunan, Seksyen Bayaran di mana accik ditempatkan untuk bertugas, pun sama..rajin sunggu buat makan-makan, hinggakan masak2 sekali kat pejabat...errr..sesekali release tensi kan. Ye lah, unit kami ni mana merasa nk out station bagai.  Asik buat kije dalam pejabat je.  Maka kena buat sesuatu agar mental kami sihat. 
Pun di situ mengamalkan Budi Bahasa amalan kita itu.  Kami makan, orang lalu lalang, kami jemput sama.  Unit sebelah menyebelah yang dapat bau masakan kami, kami jemput makan sama. Sikit sama sikit, banyak sama banyak.,,hingga tesandar makan.

Kini accik kat Bahagian yang satu ni pulak...sedikit kuciwa kerana ciri2 itu tidak ujud terutama adab2 ketika makan .... dalam unit sendiri pun tak ujud budaya tersebut..tpi tak apa lah, sebab lokasi unit ini yang terpisah-pisah.  Makanan terhidangpun jauh dari pandangan mata.  

Masalah sekrang unit lain, yang tempat makannya dihadapan accik.....rasa nak suruh je diorang tukar port makan diorang kat tempat lain.....kat tempat yang tidak mengganggu selera accik ni..kat tempat yang tidak memerlukan nak ajak2 orang lain join sama....ada berani??? hahha...lu siapa...??

Kata colleague accik yg sesama duk kat barisan hadapan ni,  "ala...kami dah biasa diorang buat macam ni.  Dah tak kisah..." 
Hmmm...patutlah engkorang pun makan tak ngajak waktu accik mula-mula masuk kat Bahagian ini dulu....heheh  

Moga accik dapat membiasakan diri dengan situasi yang sedemikian di masa akan datang.

Budi Bahasa Amalan Kita.

Saturday, July 19, 2014

MH17 ~ Takziah

Ujian dan dugaan buat keluarga mangsa, MAS, Kerajaan Malaysia dan semua yang terkena tempias dugaan ini.

Apalagi yang boleh kita katakan.  Tidak....jangan bermain dengan spekulasi dan macam-macam cerita.  Kerana ianya telah berlaku.
Tidak ada siapa yang mahukan kecelakaan.  Kekuasaan Allah, tiada siapa yang dapat menghalangnya, walau setinggi mana teknologi manusia.  Teknologi yang kadang-kadang memusnahkan sesama manusia juga.

Kita yang masih hidup ini tidak tahu bagaimana penghujung kita.   Berdoalah, agar mati kita dalam Husnul Khotimah.  Kita merancang, kita mentadbir, Allah yang mentakdir.

Gambar diambil olh salah seorang mangsa sebelum k.terbang berlepas.

A1B al Qassam

video

Sunday, June 15, 2014

Tayanglah apa yang kamu miliki di dunia ini




Di Facebook, di media sosial hari ini,
Ada orang suka letak gambar makanan sedap-sedap
Ada orang suka letak gambar baju cantik-cantik
Ada orang suka tunjuk gambar anak suami/isteri
Ada orang suka tunjuk gambar rumahnya yang besar dan cantik
Ada orang suka tayang gambar kereta besar yang mahal-mahal
Ada orang suka tunjuk gambar waktu melancong sana sini
Ada orang suka tayang gambar gajet-gajet yang dimiliki
Ada orang suka berselfie, tayang gambar sendiri 

Letaklah gambar apa pun
Tunjuklah harta apa pun yang anda miliki
Tetapi anda perlu tahu,
Ada orang yang kelaparan, teringinkan makanan yang anda letak di FB itu..
Ada orang yang memakai baju disedekahkan orang padanya sahaja
Ada orang yang telah kehilangan anak/suami/isteri
Ada orang yang tidakpun miliki pondok buruk yang tertulis nama mereka, sebagai tempat tinggal mereka
Ada orang yang hari-harinya terpaksa berebut-rebut menaiki pengangkutan awam ke tempat kerja
Ada orang yang terpaksa meminjam wang sana sini hanya untuk mendapatkan rawatan ke hospital
Ada orang yang tidak mengenali apa ertinya gajet-gajet itu dalam kehidupan
Ada orang yang tidak lengkap anggota badannya,
terfana melihat wajah-wajah indah anda yang tidak mereka miliki

hati mereka berbisik, memujuk mereka...katanya;
Biarlah apapun gambar atau cerita mereka tentang apa yang mereka miliki itu, 
kerana mereka serupa dengan kita.
Mereka miliki apa yang Allah pinjamkan pada mereka.
Biarkan mereka bergembira dan berbangga dengan apa yang mereka punya
kerana ianya hanya sementara
Tercatit sudah sejak azali, setiap yang Allah pinjamkan, akan Allah ambil semula.
Jangan dengki, jangan cemburu dengan kelebihan mereka
Sebagaimana Allah pinjamkan mereka kerana hikmahNya, 
begitulah juga Allah takdirkan bukan milik kita, kerana hikmahNya.

Hatta kegembiraan itupun milik Allah.  
Kedukaan tetap akan bergilir dan silih berganti mewarnai kehidupan kita..
Apa yang mereka miliki yang tidak ada pada kita, 
sama juga ada yang kita miliki, tidak ada pada mereka. 
Maka, wahai sahabat,
Walaupun tidak mampu miliki apa yang mereka miliki, usah gusar, usah bersedih, usah berduka
Sebaiknya, Jadilah ummat Muhammad yang bersyukur ke hadrat Allah 
kerana masih terlalu banyak nikmat Allah
Yang masih menjadi milik sementara kita
Gunakan untuk mengumpul pahala...bukan untuk melengahkan kita, di Padang Mahsyar kelak.


Terkadang aku pun sama, menayangkan apa yang aku ada...mga dijauhi riak dan ujub dalam diri ini.
Ampunkan dosa2ku ya Allah..

Friday, June 6, 2014

Kisah rama-rama



Mesti ada terbaca pasal fenomena rama-rama atau kupu-kupu yg tiba2 muncul beramai2 di ibukota kita bebaru inikan..
Ha..accik sebenarnya dah berjumpa suasana ni 3-4 minggu lepas, masa last trip memandu ke Kota Bharu aritu.  Sepanjang jalan melalui Bukit Tujuh tu, banyak la jugak rerama...rerama ok...bukan kupu-kupu..

Feeling ala-ala di luar negara gak la sesikit.  Atau macam berada dalam dunia bunian, errr...huhu..sangat sesuai dengan keadaan di kelilingi flora dan fauna di situ.

Cuma kesian, rerama tu banyak yang terkorban kemalangan jalanraya.  Tak mampu nak elak.  Memang terasa berada di taman sorga loka... dengan bunyi-bunyian hutan...err. kuat ekk..bunyi cengkerik ke tu, dari awal aritu lagi teringin nk tau bunyik apa yg kuat dari hutan sepanjang melalui hutan Bukit TUjuh Gua Musang / Kuala Lipis tu..tinggi frekuensi nya.
Entah bila lagi nak memandu lagi ke Kota Bharu...lepas ni udah nak puasa.  Lepas raya lah kot, kalu ada rezeki  dan diizinkan Allah nk ke sana nanti.  Sekian.


Gambar pinjam.- mekasih tuan punya gambo.



Tuesday, June 3, 2014

Tamat Sudah Pengajian anak-anak

 
 

Tarikh 18hb Mei 2014, tibalah hari yang dinanti-nantikan anak bungsu accik, untuk pakai topi lebar dan jubah besau warna biru berenda kuning ini.  Ini juga adalah petanda bahawa tamat sudah tanggungjawab accik menyekolahkan mereka..mula dari pra sekolah, hinggalah ke semua mereka berjaya ke puncak menara gading.

OKlah tu, setakat ijazah sarjana muda / bachelor.  Kalau nak sambung lagi, sindri tanggung la.. (err...macam la belajar selama ni ummi dia yang tanggung....tima kasih la PTPTN yg mengajar aku dan anak2ku berhutang....huhu)

Sekarang fasa mereka bekerja dan yang sulung pun dah selamat menjalani penghidupan berumah tangga. Tak lama lagi merasalah menjadi ibu pula, aaamin..teruskan belajar tentang kehidupan wahai anak-anakku, kerana di setiap fasa penghidupan itu berlainan silibus nya.  Manfaatkan setiap tarikan nafas yang Allah kurniakan kepada kita ini untuk berbuat bakti dan amal jariah, sebagai bekalan untuk ke akherat kelak.

Kejayaan mengharungi ujian penghidupan dengan berpandukan Al Quran dan SUnnah adalah kejayaan hidup sebenar bagi seorang hamba Allah. Kejayaan melawan hawa nafsu sepanjang penghidupan adalah sangat didambakan setiap insan agar terselamat kita di akherat kelak.

Kejayaan menjadi anak yang soleh dan solehah, adalah yang paling diharapkan oleh setiap ibu dan bapa. 

Usah berbangga dengan kejayaan dunia ini kerana ia tidak bermakna andai ianya tidak dimanfaatkan untuk membuat kebaikan dan menjauhkan diri dari kemungkaran larangan Allah.  Kejarlah syurga Allah di sana, dan janganlah kamu menempah azab neraka untuk penghidupan yang kekal abadi nanti.  

Itu lah pesanan ibu tua mu ini.  Terima kasih Allah.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akhbar.

Monday, April 21, 2014

The Plane...the plane...

Dah 44 hari pesawat MH370 hilang.  Rasanya sedikit sebanyak ianya meninggalkan kesan juga pada mereka yang hendak menggunakan khidmat kapalterbang untuk ke sana ke sini.  Hanya kerana terpaksa, naik jugak lah. Tpi masa naik tu, mesti dup dap dup dap.  Mengucap banyak2. Meninggalkan pesanan sepatutnya kepada waris.

Tak?  tak ada kesan?  betul la anda tak amek iktibar atas apa yang telah berlaku. ..

Sejak peristiwa hilang tanpa kesan tu..agaknya pilot pun sangat berhati-hati nak drive kapalterbang..err...drive kan?  Berturut2 pulak berlaku kemalangan dan kecemasan di laut dan udara. Kita pasti tidakkan menduga bila kemalangan akan menimpa kita.

Accik dah lama tk duk ateih kapalterbang.  Tak ada nak ke mana-mana.  Harapan accik ni, moga yang hilang akan dapat juga ditemui. Tak kira lah dalam apa keadaan. Masih boleh menaruh harapan agar mereka semua selamat kan?  Tak ada yang mustahil dalam hidup ini.  Allah maha penentu segala. Allah akan jadikan apa yang Ia mahu...walaupun kita rasa mustahil.  Kun fayakun...
Teruskan berdoa dan mengharap.  ...

Tuesday, February 18, 2014

Jangan Ketawa

Jangan terlalu banyak ketawa waktu di dunia ni.
Ketawa menggelapkan hati dari menerima petunjuk Allah.
Ketawa banyak tidak membantu kita di akherat.
Namun tiada larangan untuk menangis selalu. .. kerana setiap titis airmata penyesalan itu, mampu memadam api neraka yg mahu memamah tubuh kita...nauzubillahi minzalik...menangislah selalu.


"Menangislah selalu,
Nasib kita belum tahu,
Walaupun dalam petunjuk,
Belum tentu diterima.

Kita patut selalu pilu,
Mengenang nasib sendiri,
Kematian belum tentu,
Apakah dalam Iman,
Ataupun sebaliknya.

Kita patut selalu pilu,
Walaupun kita beramal,
Belum tentu diterima.

Walaupun dalam petunjuk,
Apakah sampai ke hujung,
Kita tiada masa ketawa,
Walaupun kita bertaubat,
Belum pasti diterima.

Menangislah selalu,
Penutup umur kita belum tahu,
Pintalah kepada Tuhan,
Agar petunjuk-Nya sampai ke Syurga."

Monday, February 10, 2014

Parit Baru

Baru-baru ni pulak, emak accik upah tokey cina untuk korek parit baru. Nampak tanahnya jenis tanah liat. Air boleh bertakung, dan ada pulak air jernih dalam parit tu... yess...tak lama lagi mesti ada ikan yang hidup, dan accik boleh datang memancing sambil penikmati keindahan alam dan nyamukk...err...




Thursday, January 23, 2014

Ujian Pekebun Getah

Memang banyak ujian untuk mendapat hasil tanaman ni. Terutama waktu mula-mula tanam. Gangguan perosak dan pemunah seperti babi hutan, kambing dan lembu terutamanya. Belum lagi diambil kira pengaruh cuaca, hujan atau terlalu panas.
Emak accik sendiri hampir merajuk bila habis semua anak getahnya dimusnahkan gerombolan lembu yang meroboh dan menceroboh masuk ke kawasan tanamannya. Alhamdulillah, tuanpunya lembu dah ganti semula, anak-anak getah yang punah tu. Terima kasih. Tapi kami kena bersabar untuk tunggu anak getah tersebut menghijau seperti pokok orang lain. :( .  Sabar itu separuh dari iman.  Sabar itu pahit, kerana buahnya manis.


Wednesday, January 22, 2014

Pekebun Moden itu

Nak mencari orang membantu kerja-kerja di ladang pun sangat payah. Payah yang macam-macam. Emak accik kata, mereka diupah mahal, tapi kerja tidak memuaskan hati. Bila berlaku rungutan yang sebegitu, accik kata kat emak accik,"tak apalah mak, kami ni ada..(anak-anak dan cucu) Biarlah kami tolong buatkan semampu kami ..." Well, kalu anak yang tolong buat kerja, kalaupun tk sempurna, emak tu idaklah nak mengomplen sangat kan... :) ...lagipun free kan....kami tk caj pun.

Maka jadilah accik dan anak-anak pekebun getah secara tidak rasminya. Setakat ini kami dah buat kerja membaja, meracun dan memagar. Yang belumnya, menoreh je lagi...huhu.. tak apalah, demi membantu ibu tua tersayang kan.. di samping, seronok juga, melihat anak2 getah membesar. Kehijauan ladang (orang lain) , dan sekarang ni pulak, musim angin kuat bertiup...seronok. rasa nak main layang-layang je kat ladang tu.








 

Tuesday, January 21, 2014

Ragam Pekebun Kecil Getah

 
 
Kesinambungan kisah kebun getah, macam-macam cara yang pekebun getah lakukan untuk mengawal anak-anak getah mereka.  Antaranya dengan meletakkan patung harimau yang besar seperti saiz sebenar binatang tersebut.  Ha...memang macam rimau betul kalau orang tak tau ni.  Kera, kambing dan lombu pun, pikir banyak kali nak masuk kawasan ni... 
 
 

Tapi macamana kalau tetiber memang harimau bebetul yang masuk ladang ni?  Memula tu ingatkan rimau palsu, sekali tu, dia ngangakan mulutnya besau2.....  Mesti tak cukup tanah nak lari kan... !!! Minta Allah jauhkan kita dari malapetaka begini...aamin.

Monday, January 20, 2014

Melawat Kebun Getah

Sejak accik asik berulang ke ladang menolong emak dengan tanaman semula getahnya, macam-macam pengalaman yang accik dapat, sama ada buat sendiri ataupun melihat orang lain buat.
 
Merumput, meracun dan membaja perlu dilakukan dari masa ke semasa. Banyaklah peluh dan mungkin airmata yang menitis dalam tempoh itu. Hanya mereka yang bersabar sahaja yang akhirnya akan dapat menikmati hasilnya. Usaha akan membuahkan hasil. Berbudilah pada tanah, kita tidak akan kecewa dengan hasilnya.



 
Kata sorang penceramah motivasi tu, hanya mereka yang ada 'passion' dalam kerja yang dilakukan yang akan seronok dan berjaya.
 

 
 
 
 
 



Saturday, January 18, 2014

Kata Pak Menteri

Harga barang dinaikkan untuk burukkan BN - Tengku Adnan

Faktor permintaan, bekalan dan cuaca selain musim perayaan, menjadi antara punca utama mempengaruhi kenaikan atau penurunan sesuatu barang di pasar ~  Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar

Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain sekiranya mengganggap kenaikan tol terlalu tinggi.Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, kenaikan tol yang bakal berlaku tahun hadapan adalah munasabah.

PM Dato' Seri Najib kata harga barangan meningkat kerana pelbagai sebab dan faktor termasuk keadaan semasa, ekonomi dunia, faktor cuaca serta fenomena cuaca ekstrem yang menyebabkan barangan mengalami kekurangan bekalan.

"Bukan semua harga naik sebab kerajaan. Harga ikan naik sebab ikan kurang, harga sayuran naik disebabkan bekalan kurang. Masa harga (barangan) turun, tak puji kerajaan tetapi masa naik, kerajaan dikeji," katanya.


TPM, Tan Sri Muhyiddin kata, situasi sebenar kenaikan sesetengah ketogari barangan boleh diketahui puncanya samada ianya hanya dikatakan naik sedangkan barangan itu tidak naik atau ianya sengaja dinaikan semata-mata hendak menunjukkan barang itu naik. 

Hmmmm....entahla.. Accik yg tk berapa pandai ni perati,
setiap kali harga minyak naik, harga barang mesti akan naik,
setiap kali harga gula naik, yang lelain pun akan naik
setiap kali tol naik, harga lelain pun naik...


Ini adalah antara barangan / perkhidmatan utama yang menyebabkan kenaikan segalanya kerana barangan itu diperlukan dalam penghasilan produk-produk lain.

Kangkung tak diperlukan untuk penghasilan produk lain.  Jadi, tidak akan memberi kesan pada harga barangan lain, walaupun harganya jatuh menjunam 90% sekalipun.


Kata PM, menjawab isu kangkung,  Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan 'kangkung' sebagai penjelasannya sebelum ini berhubung harga barang kerana ia sekadar contoh barangan yang digunakan ramai orang. 

Terima je lah....

Redha dan berbahagia je lah wahai rakyat Malaysia memandangkan kita masih dapat makan sedap-sedap kat bumi Malaysia ini, tak macam rakyat negara lain yang mana mereka dan anak-anak mereka mengutip makanan yang dibuang di tempat pembuangan sampah untuk menghilangkan kelaparan mereka. 

Kekalkan keamanan negara kita, bersama kita menjauhi perkara yang boleh menimbulkan perpecahan dan kekacauan dalam negera kita ini. Amalkan Al Quran dan Sunnah..insyaAllah, kita dapat mahmudah dan akan terbuang mazmumah dalam diri. 

Salam Maulidurrasul buat semua muslimin muslimat mukminin mukminat seluruh dunia...jangan memarah.. (ingatan untuk diwi sendiwi..)

APAKAH YANG DICARI DALAM HIDUP YANG SINGKAT INI? HARTA? PANGKAT? KASIH SAYANG MANUSIA?

Blogging Community, Blogosphere, Free Blog Submissions, Blog Directory, Article Submissions, Blog Traffic

Setiap yang bermula, akan berakhir...
Setiap yang baru akan menjadi lama...
Setiap yang bertemu akan berpisah...
Kalau sudah begitu, apa gunanya kita mulakan...
kalau sudah begitu, apa gunanya kita memiliki yang baru..
kalau sudah begitu, apa perlunya kita bertemu...
Jika yang bermula, akan ada akhirnya...
Jika yang baru, akan menjadi lama sudahnya..
Jika yang bertemu, akan terpisah juga penghujungnya
yang entah di mana dan bila..
Detik permulaan, ketentuan Tuhan...
Detik pengakhiran, Takdirnya Tuhan..
Yang baru, Tuhan yang jadikan
Kelakkan usang, fitrahnya begitu..
Pertemuan, adalah keizinan Allah
Perpisahan jua... adalah ketetapan Allah
Siapalah kita.. hanya hamba...
yang tidak berdaya...
cuma merancang,
tapi selalu pincang,
cuma berakal,
kekadang hilang akal,
cuma berusaha
tanpaNya kita tk berdaya.
-KC-