Dunia sekarang, media sosial sangat memainkan peranan menentukan segalanya.
Mudah sungguh tersebar, mudah sungguh berhubung, mudah sungguh mencari perkara yang benar mahupun yang tidak benar.
Dalam dunia serba serbi mudah ini, iman kena kuat. Pengamalan Islam kena syumul. Baharulah kita tidak akan terjerumus dalam perkara yang tidak baik.
Dalam keadaan sekarang ini, kawan sangat mudah dicari, musuh juga mudah ditemui. Kita tidak akan sedar, apa yang kita lakukan, apa yang kita katakan, hatta apa yang kita fikirkan itu adalah perkara yang salah. Yang boleh mendatangkan dosa, menimbulkan fitnah, memberikan hasil yang tidak kita ingini.
Kita tidak akan menyangka bahawa perkataan dan perbuatan kita, akan memecah belahkan ukhuwah sesama kita. Dunia sekarang sangat terdedah kepada fitnah. Salah penyampaian, silap pemahaman, buruk padahnya. Apalagi jika orang sekeliling kita mencari kesempurnaan. Menilai dari satu keburukan, untuk menghukum kesilapan, kelemahan atau apabila ada tersalah faham dan tersilap penyampaian.
Oleh kerana itulah kita kena selalu bersangka baik dan menjaga hati dan lidah kita. Untuk menegur kesilapan, jika tidak betul cara, alamat akan mendatangkan permusuhan. Terlajak kata, buruk padahnya. Saling menyampai yang baik itu dituntut. Menyampaikan perkara yang boleh menimbulkan permusuhan itu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya. Beringat selalu.
Pihak yang menyampaikan dan yang menerima sebaran berita pun kena bijak. Sentiasa memikirkan sudut positif. Bukan mengutuk atau menambah panjangkan cerita. Apalagi jika perkara yang mereka bincangkan itu berkaitan dengan orang yang mereka kenali. Bersangka baik dan mengambil iktibar itu sifat terpuji.
Kena ingat bahawa setiap kita tidak sempurna. Kita buat salah, orang lain pun buat salah. Yang perlu, saling ingat-mengingati sesama kita. Terimalah teguran walaupun pahit. Yang menegurpun, tegurlah penuh hikmah, dengan perkataan yang baik sehabis baik.
Jika tak boleh, diam dan doakan sahaja. Kemudian, jangan campuri perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Duduk sorang2, jalan sorang2, dan cari kawan yang betul-betul menerima ketidaksempurnaan kita.
PERINGATAN UNTUK DIRI YANG SELALU BUAT SALAH

